Sepagi di Pantai Cahaya Bulan

Pagi tadi lepas subuh, KA tengok anak-anak tengah tidur lagi. Isteri pun dah terlelap lepas solat tadi sambil menyusukan anak jantan KA. 

Dalam duduk berborak dengan mak tadi, tiba-tiba teringat pula zaman sekolah dulu KA selalu ke Pantai Cahaya Bulan (PCB) setiap hujung minggu pada awal pagi. Sama ada sekadar untuk berlari-lari ataupun berenang dan berendam. 

KA cakap dengan mak yang KA nak ke pantai sekejap. Saja nak ambil angin pantai. Lagipun lama sangat dah KA tak duduk-duduk tenangkan minda dan jiwa di tepi pantai. KA turun dan terus memcut kereta ke pantai.

Sampai saja ke Pantai Cahaya Bulan, KA disambut oleh cahaya mentari yang semakin menaik. Tenang betul rasanya bila sesekali kena angin pantai dan sinar mentari pagi macam ni. 

 
Dahulunya pantai ni ada banyak kedai makan betul-betul di gigi air, sekitar awal 90an. Itu pun sebelum habis semuanya dihakis gelombang pantai yang mengganas bercampur dengan pembangunan tepi pantai yang terkawal waktu itu. Lama juga PCB tak meriah semenjak awal masalah hakisan. 

Sekarang setelah beberapa tahun kerajaan membuat projek tambakan di sepanjang tepi PCB ni, alhamdulillah... semuanya makin pulih. Pasir pantai pun dah makin melebar semula. Jarak dari gigi air ke benteng tambakan juga semakin menjauh. 

Pantai yang dahulunya terhakis dan kemudian dipenuhi batu tambakan, kini membenarkan orang ramai kembali berjalan di atas pasirnya di gigi air. 


Yang KA tak jangkakan tadi adalah betapa banyaknya kucing jalanan yang berkeliaran di tepi pantai. Sewaktu KA balik ke kampung sebelum ni, tak pula sebanyak pagi tadi. Comel-comel pula tu. Banyak antaranya adalah dari baka Domestic Long Hair. Comel-comel belaka. Cuma banyak kesan luka akibat bergaduh sesama mereka agaknya. 

Sempat juga berborak dengan seorang abang ni berkenaan kepayahan orang-orang kampung yang kerja kampungan sepanjang Covid19 melanda dunia. KA faham sebab KA pun melalui benda yang sama sepanjang dua tahun ini. 

Abang ni juga ada kongsi masalah politik yang orang kampung alami. Bagaimana ketidak-adilan dalam pembahagian bantuan oleh ketua-ketua kampung. KA tak boleh nak komen lebih sebab hampir semua tempat mengalami benda yang sama. 


Dah agak lama berbual, KA minta diri. Sebab KA plan nak ke Pantai Kuda dan pusing-pusing belah Perdana Resort ataupun apa yang tertinggal darinya. KA tahu Perdana Resort dah tutup lama dari tahun 2018 untuk penambahbaikan. 

Ternyata semuanya masih sama. Pintu masuk ke resort masih tertutup rapat menafikan kedatangan pengunjung. KA tak nampak apa-apa kemajuan atau penambahbaikan yang signifikan. Entahlah, harapnya semuanya kembali pulih. 

KA menelusuri denai berbatu dan berpasir dengan kereta untuk ke satu lagi tempat kegemaran KA waktu masih bersekolah dulu. 

Kawasan sini nak kata jauh, tak jauh sangat pun dari pusat tarikan utama PCB, tetapi kawasan sini lebih sunyi lagi-lagi selepas Perdana Resort ditutup. KA lagi suka datang sini sebab tak ramai orang. 

Dah puas menikmati kesunyian pagi dekat situ, KA kembali meneruskan perjalan menghala ke Pantai Mek Mas. Tapi niat KA kali ini bukan nak ke Pantai Mek Mas, tapi nak singgah atas jambatan dalam perjalanan ke sana. 

Atas jambatan ni lah tempat KA selalu melepak sewaktu jambatan ini mula-mula siap dahulu. Di bawahnya pula tempat KA dan sepupu-sepupu melabuhkan kail untuk memancing siakap putih dan merah. 

Dulu ada satu jambatan kecil berdekatan muara Sungai Che Latif yang tembus ke Kuala Besar. Kalau perhatikan dalam gambar atas ni masih ada baki tiang yang terpacak keluar dari aras air sungai.

Sebenarnya kawasan sini banyak cerita keras yang kami pernah alami. Termasuklah ada satu kali masa tengah memancing waktu malam, kami nampak ada seorang ni kayuh basikal cepat-cepat dan berhenti mengejut di atas jambatan lama. Bukan saja berhenti, 'dia' terus terjun. Yang peliknya tiada satu bunyi atau percikan air pun yang kami perhatikan. Nak buatkan lagi pelik. Basikal yang tadi kami nampak, bila kami naik ke jambatan lama... basikal tu dah tak ada. Percaya atau tidak, sampai sekarang benda ni masih misteri. Dan lepas pada tu, kami memancing juga macam biasa waktu malam.

Hari ini rancangnya nak ke Aeon Mall Kota Bharu dan nak pergi tengok Mydin Mall terbesar Malaysia di Tunjong. Kalau sempat la kan. Kalau tak sempat, kita ke Aeon Mall saja lah. Terpaksa pergi juga ke Aeon Mall sebab baju Khayla dan Andika dah banyak tak muat. Masing-masing dah membesar. Lagipun sepanjang dua tahun ni sangat lama dah kami tak membeli pakaian anak-anak. Kesian.

Banyak lagi tempat menarik sekitar kampung KA ni sebenarnya yang KA nak kongsi. Tak cukup rasanya KA nak menjelajah kalau cuti pun setakat tiga empat hari. 

Ada peluang nanti KA kongsi dengan lebih terperinci dan lebih banyak tempat yang seronok untuk dilawati. 

Terima kasih kerana sudi membaca.

7 Ulasan

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.

  1. Seronoknya bila rumah dekat dengan tepi pantai..
    Sebelum covid kerap juga pi Pantai Remis di Kuala Selangor tengok matahari terbenam.. Ni dh jarang sangat pegi sebab covid lagipun ramai yang melepak sana. Kita ada anak kecil yang xde vaksin bahaya untuk mereka.

    BalasPadam
  2. KA dah sampai kampung rupanya. selamat bercuti. best betul pagi-pagi tengok sungai dan laut. tenang je rasa
    Ingatkan lepas peristiwa basikal misteri tu dah insaf, rupanya masih terus memancing. tersenyum saya baca

    BalasPadam
  3. Seronoknya menikmati waktu pagi di tepi pantai...
    Tenang dan bebas fikiran :)

    BalasPadam
  4. cantik pantai cahaya bulan,saya pernah kesitu dua kali ..teringin nak jalan2 kelantan nanti..banyak tempat yang lama tak singgah,,cantik pic..shoot guna lens berapa mm tu KA

    BalasPadam
  5. terima kasih, singgahbaca blog saya.

    saya pernah ke PCB masa istri saya baru keluar dari hospital. masa itu mungkin musim tengkujuh. angin kuat dan ombak ganas.

    first time saya lihat ombak sekeras itu. tak sama dengan ombak di pantai tempat saya tinggal ini yang selalunya tenang sahaja...

    BalasPadam
  6. saya letak pautan blog tuan ke bloglist saya. insyaAllah, senang senang nanti saya baca catatan tua...

    BalasPadam
  7. Teringat pengalaman mewakili sekolah ke pertandingan debat yang diadakan di Kelantan. First time jejak kaki ke Kelantan memang excited sangat. Masa tu nak pegi ke Pantai Cahaya Bulan kena naik bas awam. Saya bgtau dekat pakcik drebar nak pergi ke Pantai Cinta Berahi (sbb baca satu novel ni masih pakai nama tu). Habis kena gelak pakcik sebab dah lama dia tak dengar orang sebut PCB tu Pantai Cinta Berahi.

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama

Langgan

Dapatkan pemberitahuan e-mel

نموذج الاتصال