Rezeki Akhir Ramadan

Selepas dua tahun lebih berada di syarikat lama. Saya dan rakan sekerja lain mulai goyah. Panas punggung dengan pelbagai isu yang melanda syarikat. Setiap pagi terasa bagai memikul satu buana di bahu. 

Kalau dahulunya bangun pukul 4 dinihari bersiap untuk ke tempat kerja merupakan suatu perkara yang biasa dan ringan. Sejak setahun lepas, pukul 8 pun rasa berat untuk bangun dari bangku meja makan di rumah. Berat sangat untuk memulakan langkah ke tempat kerja.

Semuanya bermula sejak PKP kedua. Syarikat sudah tidak dapat genggam projek-projek yang telah dicadangkan dan disebut-harga. Syarikat juga sudah mula hilang hala tuju. Menjadi kebiasaan syarikat kontraktor kategori alibaba agaknya, menjadi seperti yang orang putih cakap... jack of all trades, master of none. Semua langkah yang diambil tidak menjadi. 

Situasi semakin teruk apabila syarikat yang kecil membuat keputusan untuk menggaji seorang Corporate & Business Strategies Manager. Dengan keadaan aliran tunai yang meruncing dan projek langsung tak ada sepanjang tahun 2021, gaji pekerja mula sangkut. Ada masa selepas 3 bulan baru kami dibayar. Ada masa selama 6 bulan kami menerima gaji separuh sahaja dan bakinya diselesaikan secara beransur-ansur. 

Yang menjadi kemuncak segala halnya. Dalam masa yang sama kami pekerja yang ada beberapa kerat ini sangkut gajinya, pengurus yang baru dilantik boleh pula mengusul dan memujuk CEO untuk membeli sebuah Vellfire recond dan sebuah Navara baru. Dibilang untuk mendapatkan kepercayaan dan projek baru. Selepas dekat setahun, satu projek pun tak dapat. 

Di saat kami ditangguhkan gaji, pengurus yang baru dilantik dibayar gaji penuh. Sedangkan gajinya seorang boleh membayar gaji tiga atau empat orang jurutera yang ada yang memang diperlukan syarikat.

Pekerja mula menghantar notis perletakan jawatan seorang demi seorang. Walaupun saya yang dahulu memberitahu hajat dihati, tapi mereka dahulu yang pergi. Bermula dengan staf administration, akaun dan diikuti oleh jurutera-jurutera. Ada yang beri notis penuh, notis separuh dan ada yang beri notis berhenti 24 jam.

Akhirnya, kesabaran saya juga hilang dan saya nekad membuat keputusan untuk menghantar notis dua bulan seperti tertakluk di dalam surat tawaran bekerja awal dahulu. Saya nekad untuk berhenti dahulu kerana kalau kerja pun, duit tak masuk dan diri masih terikat dengan syarikat. Saya pula tak boleh buat apa-apa untuk mencari duit segera - daily cash untuk saya membawa makanan ke meja makan keluarga saya.

Tarikh akhir notis jatuh pada awal Ramadan. Dengan tekad dan tawakkal, saya daftarkan diri sebagai penghantar bermotosikal melalui platform Lalamove. (Nanti saya kongsikan tips buat duit dengan Lalamove.) Sepanjang Ramadan yang berbaki, saya menjadi rakan penghantar Lalamove sepenuh masa. 

Walaupun sebelum ini saya pernah menjadi pemandu e-hailing, ternyata menjadi rakan penghantar bermotosikal lebih memberi kesan terhadap tubuh badan. Ditambah lagi dengan berpuasa dan cuaca yang selalunya panas terik, minda juga jadi tak menentu. Terdetik juga di hati, mungkin inilah salah satu punca penghantar bermotosikal banyak yang terlibat dengan kemalangan. 

Bahagian belakang dan bahu mula menunjukkan kesan daripada menunggang motosikal sepanjang hari. Koyok besar yang isteri saya dapatkan dari hospital tempat dia bekerja sekurangnya dapatlah mengurangkan rasa sakit yang saya alami. 

Kalau ikutkan, pendapatan yang saya dapat daripada menjadi rakan penghantar hampir juga dengan gaji kerja tetap sebelum ini. Namun dengan risiko yang ada, saya sangat tidak mencadangkan untuk sesiapa pun buat kerja ni sepenuh masa. 

Setiap masa saya teringatkan isteri dan anak-anak di rumah. Mereka membuatkan saya kekal berusaha dan bersemangat untuk meneruskannya. Mereka juga sebagai peringatan untuk saya sentiasa berhati-hati di jalan raya.

Sambil membuat penghantaran, ada masa senggang saya turut tidak berhenti memohon pekerjaan tetap yang baru. Jobstreet, LinkedIn, terjah syarikat-syarikat dan juga bertanya kepada kawan-kawan. Semuanya saya buat, berdoa dan berserah. 


Syukur alhamdulillah selepas dua tiga temuduga yang saya lalui, akhirnya pada penghujung Ramadan saya berjaya mendapat jawatan di sebuah syarikat berdekatan dengan rumah. Dekat sangat, 5 minit sahaja jarak dari rumah. Rezeki anak dan isteri, berkat doa dari orang sekeliling. 


Semoga kita semua kekal berjaya dan bahagia di dalam hidup dan di alam sana. InsyaAllah. 

14 Ulasan

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.

  1. Alhamdulillah...Allah sentiasa mendengar doa hambanya..Selamat Hari Raya...maaf zahir dan batin

    BalasPadam
  2. Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin.
    Alhamdulillah, rezeki Allah termakbul doa dan harapan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat hari raya ... maaf zahir batin. =) Alhamdulillah

      Padam
  3. Semoga semua urusan tuan selepas ini dipermudahkkan olehNya. Aamiin... :)

    BalasPadam
  4. Aduh.... Bila gaji sangkut memang tanda2 sakit....

    Semoga hari lebih baik tibanya Syawal!

    Salam aidilfitri!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam aidilfitri uncle. Betul tu.. kita kerja nak gaji. Banyak mulut di rumah yang nak kena suap.

      Padam
  5. Alhamdulillah tuan....rezeki itu luas dan saya bersyukur tuan sudah dapat kerja baharu setelah berhenti kerja di tempat lama

    BalasPadam
  6. Tersentuh hati saya baca cerita ini. Alhamdulillah dapat juga kerja. Rezeki pula dekat dengan rumah 5 minit tidak lah stress hadap traffic kan ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu. Lega sangat. Dapat pulak tempat baru yang okay. Syukur!

      Padam
  7. benarlah...setiap ujian yang Dia turunkan itu digalas mengikut kemampuan hambaNya... setiap kesusahan pasti ada jln keluar...

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama

Langgan

Dapatkan pemberitahuan e-mel

نموذج الاتصال